Sunday, May 13, 2018

Suri Hati Sang Khalifah


Oleh : Pn. Hidayah Muhammad (Ketua MHTM Cawangan Sandakan)


Muqaddimah


Seringkali disebut bahawa disebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita hebat di belakangnya. Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana wanita adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang sangat istimewa. Peranannya begitu besar dalam kehidupan. Jika dia sebagai seorang ibu, peranannya ialah melahirkan, membesarkan, mendidik dan mengasuh anak-anaknya. Jika ia sebagai seorang isteri, dia berperanan sebagai syarikatul hayah (pasangan kehidupan) yang tidak hanya berperanan sebagai seorang isteri, tetapi dia juga menjadi pendamping kepada suaminya yang sentiasa membantu, menyokong dan sentiasa bersama-sama dengan suaminya dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.  Itu adalah ciri-ciri isteri solehah dan beruntunglah seorang suami apabila dikurniakan seorang wanita seperti itu. 

Rasulullah SAW bersabda, “Dunia ini dijadikan perhiasan dan sebaik-baik perhiasan hidup adalah isteri yang solehah” [HR Muslim]. 


Seorang wanita yang bergelar isteri juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang begitu besar lebih-lebih lagi apabila menjadi isteri kepada ketua negara. Oleh itu, contoh teladan terbaik ialah daripada generasi terdahulu. Tiga orang sosok wanita yang boleh dijadikan teladan ialah Na’ilah al-Farafishah dengan kesetiaannya, Fatimah binti Abdul Malik dengan sifat kesederhanaannya dan Zubaidah binti Jaafar seorang isteri yang turut sama dalam menyebar kebaikan untuk umat Islam.


Kesetiaan Na’ilah binti al-Farafishah


Ketika kita menyelak lembaran-lembaran sejarah akan kita dapati peranan seorang isteri begitu besar ketika menjadi suri hati sang Khalifah. Seperti seorang sahabiyyah iaitu Na’ilah binti al-Farafishah bin al-Ahwash  al-Kalbiyah RA, isteri kepada sahabat Nabi SAW iaitu Uthman bin Affan RA. 


Na’ilah binti al-Farafishah ialah seorang wanita yang taat dan sangat setia kepada suaminya. Beliau juga merupakan seorang yang berfikiran cerdas, sehinggakan apabila Khalifah Uthman bin Affan dalam keadaan buntu memikirkan masalah negara, maka Khalifah Uthman bin Affan akan meminta pendapat isterinya. Petah bertutur, bijak dan matang dalam berfikir menjadikan Na’ilah antara wanita yang menonjol pada zamannya. Lebih-lebih lagi ketika peristiwa pengepungan rumah beliau oleh pemberontak. Beliau sentiasa di sisi suaminya untuk menahan setiap pukulan pedang dengan tangannya sehingga terputus jari-jemarinya sebelum pukulan pedang itu sampai kepada suaminya. Dia juga rela mempertaruhkan nyawanya demi keselamatan suaminya.


Selepas kewafatan suaminya dalam peristiwa pemberontakan itu, beliau sentiasa mengingati suaminya dan kekal setia sehingga beliau wafat pada masa Kekhilafahan Bani Umayyah.


Kesederhanaan Fatimah binti Abdul Malik


Serikandi teladan berikutnya ialah Fatimah binti Abdul Malik bin Marwan, isteri kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau juga merupakan anak kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Beliau satu-satunya puteri daripada lima orang adik-beradik yang turut terkenal dalam sejarah umat Islam.


Walaupun lahir daripada keluarga yang dilimpahi kemewahan, beliau telah diberikan didikan yang sempurna oleh ayahandanya sehingga menjadi seorang wanita yang terhormat, amanah, taat beribadah dan seorang wanita yang suka hidup dalam kesederhanaan. 


Sifat kesederhanaan beliau terbukti ketika menjadi isteri kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Walaupun menjadi isteri kepada seorang Khalifah tidak bermakna bahawa beliau boleh hidup bermewah-mewah. Bahkan suaminya memerintahkan agar Fatimah mengumpulkan keseluruhan harta mereka termasuk barang perhiasan beliau yang telah dihadiahkan oleh bapanya semasa perkahwinannya untuk diserahkan kepada Baitul Mal. Ketika diminta berbuat demikian, beliau hanya menuruti bahkan menyokong apa yang diinginkan oleh suaminya.


Khalifah Umar Abdul Aziz hanya menerima 60 dirham sebulan daripada Baitul Mal, malah beliau minta dikurangkan lagi wang saraan hidup yang diperuntukkan untuknya dan menolak segala kelengkapan yang disediakan dalam kapasiti sebagai seorang Khalifah. Semua ini diterima oleh isterinya dengan penuh redha. Walaupun kehidupan mereka dalam keadaan serba sederhana, tetapi Khalifah Umar sentiasa memastikan keperluan Fatimah mencukupi. Makanan yang disantap dan pakaian yang dipakai tidak menunjukkan yang Fatimah merupakan isteri kepada Khalifah, sehingga orang yang tidak mengenalinya akan menganggap bahawa beliau hanya wanita biasa. Wanita hebat ini menjalani hidup yang penuh kesederhanaan,  sentiasa sabar dan setia mendampingi serta menjadi pendukung kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz.


Zubaidah binti Jaafar - Penyebar Kebaikan


Pada zaman Kekhilafahan Abbasiyyah pula, seorang sosok wanita yang boleh kita teladani ialah isteri kepada Khalifah Harun ar-Rasyid iaitu Zubaidah binti Jaafar. Beliau merupakan seorang wanita yang berfikiran cerdas, petah dalam berkata-kata dan dihormati  pada zamannya. 


Ketika beliau ingin menunaikan ibadah haji pada tahun 186H, beliau melihat betapa sukarnya penduduk Mekah mendapatkan air. Maka beliau pun memanggil bendaharanya supaya mengumpulkan para arkitek dan para pekerja untuk melakukan kerja-kerja menggali mata air bagi memudahkan penduduk Mekah dan jemaah haji mendapatkan bekalan air. Proses penggalian tersebut agak sukar dilakukan kerana peralatan yang terhad pada ketika itu. Namun, kerana kesungguhan dan kecerdikan Zubaidah, sumber air tetap dapat disalurkan ke Mekah. Mata air itu dinamakan sempena nama Zubaidah. Sehingga sekarang masih terdapat kesan-kesan pembinaan yang dikendalikan oleh beliau, malah bangunan yang dibina dapat menarik perhatian kepada sesiapa yang melaluinya dari Mekah menuju ke Mina. Bukan itu sahaja, sepanjang menjadi isteri Khalifah, beliau juga mendirikan banyak masjid dan bangunan yang bermanfaat kepada umat Islam. 


Khatimah


Begitulah sekilas kisah daripada isteri-isteri yang menjadi suri hati sang Khalifah. Menjadi isteri kepada Khalifah bukan untuk hidup bermewah-mewah, bukan untuk mendapatkan status sosial dan penghormatan yang tinggi dalam masyarakat, tetapi peranan seorang isteri lebih besar untuk tetap setia dan sentiasa menjadi penolong untuk suaminya. Ini selaras dengan firman Allah SWT,


“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka  menyuruh (melakukan) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberikan rahmat oleh Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana” [TMQ at-Taubah (9): 71].


Waallahu A’lam Bissawab


Rujukan:

Terjemahan Al-Quran

https://pasarsantri.blogspot.my/2017/07/kumpulan-ayat-dan-hadis-pernikahan.html?m=1

http://muslimahdaily.com/story/hikmah/item/795-kisah-mengharukan-nailah-binti-al-farafishah-setia-khalifah-ketiga.html

https://talimulquranalasror.blogspot.my/2013/05/kesederhanaan-istri-khalifah-umar-bin.html

htpp://kisahmuslim.com/1620-zabidah-model-istri-pejabat-teladan-umat.html

htpp://m.republika.co.id/berita/dunia/islam/khazanah/12/07/16/m79ao2-mujahidah-fatimah-binti-abdul-malik-istri-khalifah-yang-bersahaja-1

http://hizbut-tahrir.or.id/2010/10/10/khalifah-umar-bin-abdul-aziz/


#FikratulUmmah #SerikandiTeladan #Tokoh #Teladan #Muslimah #wanitabahagia #islampembelawanita


Bagikan Yuk!

Pengelola:

Informasi yang ada di web ini semoga bermanfaat buat pembaca sekalian. Amin!

0 comments:

Mohon komentarnya santun dan sopan!