Saturday, May 12, 2018

Hukum Wanita Menjadi Pemerintah


Oleh : Farisha Aris (Aktivis MHTM)


Persoalan sama ada wanita boleh menjadi pemerintah dalam sesebuah negara seringkali dibincangkan dan dibahaskan oleh pelbagai pihak sejak dahulu lagi. Namun begitu, sebelum membahaskan permasalahan kepimpinan wanita dalam Islam dalam konteks kepimpinan negara, perkara asas yang terlebih dahulu perlu dibincangkan adalah sejauh mana Islam memberikan hak dan kewajipan kepada lelaki dan wanita.


Sesungguhnya telah terhimpun dengan jelas dalam nas-nas syarak yang berkaitan hak dan kewajipan yang diberikan Islam kepada lelaki dan wanita yang mana dapat disimpulkan bahawa Islam telah memberikan hak kepada wanita seperti mana Islam juga memberikan hak kepada lelaki. Demikian juga Islam telah membebankan kewajipan kepada wanita seperti mana Islam juga membebankan kewajipan kepada lelaki kecuali hak atau kewajipan yang dikhususkan Islam hanya untuk wanita atau untuk lelaki sahaja berdasarkan dalil-dalil syarie. (Taqiyuddin An Nabhani, Muqaddimah Ad Dustur, halaman 253).


Oleh yang demikian, daripada penjelasan di atas, perincian yang dapat disimpulkan adalah: Pertama,  Islam pada dasarnya memberikan hak dan kewajipan yang sama kepada lelaki dan wanita. Kedua, terdapat pengkhususan hak atau kewajipan kepada wanita sahaja atau lelaki sahaja. Ketiga, pengkhususan ini mesti berdasarkan nas-nas syariat daripada Al-Quran dan As-Sunnah.


Kepimpinan Wanita Sebagai Pemerintah


Dalam pembahasan ini ada dua perkara yang mesti diperhatikan agar tidak wujud  kekeliruan atau kesalah-fahaman. Pertama, masalah sistem pemerintahan. Kedua, masalah wanita sebagai seorang individu dan peranannya sebagai pemimpin dalam sesebuah pemerintahan.


Kedua-dua perkara itu mesti difahami sebagai satu perkara yang wajar dibahaskan sebagai satu isu dan bukan dibahaskan secara berasingan. Ini bermakna, wanita tidak dibenarkan menjadi pemerintah bukan bermaksud lelaki dibolehkan untuk memegang jawatan dalam pemerintahan hanya kerana status kelelakiannya semata-mata. 


a. Sistem Pemerintahan Islam adalah Khilafah 

Sistem pemerintahan selain Islam contohnya sistem pemerintahan sekular seperti mana sekarang ini  membolehkan seorang wanita menjadi seorang pemimpin, walaupun pada hakikatnya kaum lelaki tetap mendominasi jawatan pemimpin. Sebenarnya, status seorang pemimpin negara yang berada dalam sistem selain daripada sistem pemerintahan Islam hukumnya adalah haram di sisi hukum syarak. Sistem kenegaraan dalam Islam adalah Khilafah Islamiyyah, bukan sistem republik, sistem monarki, persekutuan, kekaisaran atau sistem pemerintahan Sekular. Rasulullah SAW bersabda:


“Dahulu Bani Israil selalu dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada nabi setelah aku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah” (HR. Imam Muslim daripada Abi Hazim).


Ijmak Sahabat juga menunjukkan dengan jelas bahawa sistem kenegaraan dalam Islam hanyalah sistem Khilafah Islamiyyah. Sistem kenegaraan lain selain sistem Khilafah Islamiyyah bukanlah sistem pemerintahan Islam. Maka haram bagi kaum Muslim untuk mengiktiraf ataupun terlibat dalam sistem kufur tersebut. Ini bermakna dalam sistem pemerintahan sekular sekarang ini,  baik lelaki mahupun wanita adalah tidak dibenarkan sama sekali menjadi pemerintah kerana sistem pemerintahan dalam Islam adalah Khilafah.


b. Islam Mengharamkan Kepimpinan Wanita Dalam Negara


Seluruh ulama sepakat bahawa wanita haram memegang jawatan kekhilafahan. Oleh yang demikian, persoalan tentang haramnya wanita menjadi pemimpin negara bukanlah masalah khilafiyah. Imam Al-Qurthubi, menyatakan dalam tafsirnya Al-Jaami’ li Ahkam Al-Quran, Juz I. hal. 270 bahawa: “Khalifah mestilah seorang lelaki dan mereka (para fuqaha) telah bersepakat bahawa wanita tidak boleh menjadi imam (khalifah). Namun begitu, mereka berbeza pendapat tentang bolehnya wanita menjadi qadhi berdasarkan diterimanya kesaksian wanita dalam pengadilan”.


Allah SWT berfirman: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka” [TMQ An-Nisa’(4): 34].


Ibnu Katsir rahimahullahu berkata, “Ayat ini menerangkan bahawa lelaki adalah pemimpin bagi wanita iaitu dia sebagai pemimpin, pembesar dan penguasa serta pendidik bagi mereka, ketika wanita tersebut melakukan maksiat iaitu pelanggaran hukum. 


Hukum dalam ayat ini bersifat umum dan menyeluruh iaitu kepimpinan itu bagi lelaki sama ada dalam keluarganya mahupun dalam kepimpinan umum. Ini bermaksud lelaki adalah pemimpin kaum wanita dalam erti kata pemerintah, ketua negara, penguasa dan pendidik wanita jika mereka menyimpang daripada kebenaran yang mana ia menjadi faktor yang menyokong kepimpinan kaum lelaki.


Al-Qurthubi rahimahullah berkata:


Firman Allah SWT, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”


Ayat di atas bermaksud bahawa mereka mengeluarkan nafkahnya untuk kaum wanita dan melindunginya. Ia juga difahami bahawa daripada merekalah (kaum lelaki) yang menjadi para pemimpin dan berperang, bukan daripada wanita. (Tafsir Qurthubi, 5/168).


Seterusnya pembahasan yang paling kuat dan sahih tentang haramnya wanita memegang jawatan yang berkaitan dengan tampuk kekuasaan adalah hadis daripada Abu Bakrah RA yang mana dia berkata, “Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa penduduk Parsi telah melantik Puteri Kisra sebagai ratu (ketua) mereka, baginda lalu bersabda:


“Tidak akan beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada wanita” (HR Bukhari, Ahmad, Tirmidzi, dan an-Nasa’i dari Abu Bakrah RA).


Hadis ini dengan jelas melarang wanita terlibat dalam urusan pemerintahan yang mana Rasulullah SAW mencela orang-orang yang menyerahkan urusan mereka dalam bidang pemerintahan kepada wanita. Namun begitu, wanita boleh memegang jawatan selain daripada urusan kekuasaan (pemerintahan) seperti qadhi/hakim (kecuali Qadhi Qudhat dan Qadhi Mazhalim) atau menjadi kakitangan awam kerana pekerjaan tersebut tidak termasuk urusan pemerintahan tetapi termasuk kontrak upah atau penggajian (akad ijarah).


Berkenaan hadis di atas, para jumhur ulama sependapat dan menyetujui hadis di atas dan antaranya adalah: 


Imam Ahmad, Imam Malik dan Imam Syafie berpendapat bahawa wanita tidak berhak menjadi pemimpin, meskipun dalam ruang lingkup yang lebih terbatas. Ini kerana menjadi pemimpin, sama ada kekuasaannya luas atau terbatas, hakikatnya tetap sama. Apa yang membezakan hanyalah wilayah kekuasaan semata-mata, sedangkan Rasulullah SAW telah jelas melarang wanita menjadi pemimpin atau khalifah.


Al-Mawardi rahimahullah berkata, “Kerana di dalamnya akan dituntut sebuah pendapat dan kekuatan tekad yang dalam hal ini kaum wanita lemah, di samping hal ini akan membuatnya mesti tampil secara langsung mengatasi suatu masalah yang berkemungkinan merupakan perkara terlarang bagi wanita” (Al-Ahkam As-Sulthaniah, hal. 46).


Ibnu Hazm rahimahullah berkata, “Tidak ada perbezaan pendapat dalam kalangan seorang pun bahawa masalah ini tidak dibolehkan bagi seorang wanita” (Al-Fash Fil Milal Wal Ahwa Wan-Nihal, 4/129). 


Dalam Al-Mausu’ah  Al-Fiqhiyah (21/270) disebutkan, “Para ahli fikih sepakat bahawa  antara syarat bagi seorang pemimpin ialah lelaki. Tidak boleh kepimpinan diserahkan kepada wanita. Bilamana pemimpin seorang lelaki, akan memungkinkan baginya berinteraksi dengan lelaki, melaksanakan urusan kepimpinannya  sepenuh masa dan juga secara umumnya kedudukan ini menuntut kerja keras dan kekuatan fizikal yang selayaknya sesuai bagi lelaki.”


Hadis ini dari segi riwayat (bil-lafdzi wa bil-ma’na), tidak seorang pun pakar hadis yang mempersoalkan kesahihannya sedangkan daripada segi dirayah (pengetahuan tentang pensyaratan hadis sama ada diterima atau ditolak), dalalah hadis ini menunjukkan dengan pasti haramnya wanita memegang tampuk kekuasaan negara. 


Khatimah


Sesungguhnya keharaman wanita sebagai pemimpin atau berada  dalam sistem pemerintahan merupakan sebahagian daripada hukum Islam. Oleh yang demikian, seorang wanita tidak dibolehkan menjadi ketua negara atau pemimpin  tertinggi selagi masih ada seorang lelaki yang boleh menjadi pemimpin yang adil dan baik. Ini kerana seorang lelaki adalah  pemimpin bagi wanita. Wanita hanya dibolehkan untuk memegang jawatan selain daripada urusan kekuasaan (pemerintahan). Justeru, seharusnya persoalan bolehkah wanita menjadi pemerintah  dalam sesebuah negara tidak perlu diperdebatkan lagi sebagaimana firman-Nya :


 “Dan janganlah kamu iri hati dengan apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi lelaki  ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan” [TMQ an-Nisa’ (4) :32].


Sesungguhnya kaum Muslimin seharusnya menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber hukum dalam memastikan kita sentiasa terikat dengan syariat Allah SWT.  


“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33) :36]. 


Wallahu'alam.


Sumber: 

1. Al-Quran al-Kareem;

2. Sistem Pemerintahan Islam; Abdul Qadim Zallum; Al-Izzah; 2002.

3. https://tafsirq.com/ 

4. https://islamqa.info/id/20677

5.  https://

abihumaid.wordpress.com/2011/02/27/tidak-akan-beruntung-suatu-kaum-jika-dipimpin-oleh-seorang-wanita/


#FikratulUmmah #Fikih #Pemimpin #Kepimpinan #wanita #muslimah


Bagikan Yuk!

Pengelola:

Informasi yang ada di web ini semoga bermanfaat buat pembaca sekalian. Amin!

0 comments:

Mohon komentarnya santun dan sopan!