Rasulullah Saw Suri Teladan untuk Kita dalam Semua Perkara

Oleh: Ustazah Ummu Hajar (Ahli Lajnah Muballighah MHTM)

Firman Allah SWT :


“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. [TMQ      al-Ahzab (33):21]

Tafsir dan Huraian

Ayat ini mengajar umat Islam prinsip yang sangat penting iaitu suruhan untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam semua perkara, sama ada perkataan dan juga perbuatan. Ia terkait dengan situasi ketika berlakunya Perang Ahzab, sewaktu menghadapi saat genting dalam peperangan, Rasulullah SAW telah memperlihatkan teladan yang sangat hebat, khususnya kesabaran Baginda dalam menghadapi pelbagai kepayahan, menjaga hal ehwal kaum muslimin, berjuang dengan penuh kesungguhan dan menzahirkan sikap pengharapan yang amat tinggi kepada bantuan serta pertolongan Allah SWT. Perbuatan Rasulullah SAW sebagai suri teladan yang mulia ini dituntut supaya diikuti sepenuhnya dan kaum muslimin juga diperingatkan supaya jangan mudah panik atau putus asa dalam menghadapi saat getir peperangan.

Al-quran juga mendidik umat Islam supaya menjadikan keimanan dan ketakwaan sebagai asas untuk mencontohi suri teladan Rasulullah SAW. Melalui ayat ini Allah menyatakan bahawa hanya orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah, mengharapkan balasan hari akhirat dan sentiasa ingat kepada Allah yang akan benar-benar menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam kehidupan mereka.

Dalam kehidupan harian kaum muslimin hari ini, ramai dalam kalangan mereka yang mencontohi Baginda SAW dalam mengatur kehidupan peribadi dan kekeluargaan, khususnya dalam aspek ruhiyyah serta perkara-perkara yang berkaitan dengan taharah, makan, minum, pakaian dan akhlak. Tetapi berapa ramaikah yang benar-benar tahu dan memahami cara untuk mencontohi Rasulullah SAW dalam mengatur urusan umat Islam dan sistem kehidupan?

Firman Allah SWT:


“Katakanlah,  jika kamu benar-benar kasih kepada Allah,  maka ikutlah aku, nescaya Allah akan mengasihimu dan Dia mengampuni bagi kamu dosa-dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. [TMQ ali-Imran (3):31]

Umat Islam hendaklah meneladani Rasulullah SAW dalam seluruh aspek kehidupan sebagai bukti kecintaan kita kepada Allah SWT. Hal Ini menuntut individu muslim supaya mengikut ajaran Islam secara keseluruhan dengan berpegang kepada al-Quran dan  as-Sunnah serta jangan berpecah belah dalam perkara asas. Secara praktikal, untuk mencontohi Rasulullah dalam seluruh aspek kehidupan bukan hanya mencontohi akhlak atau cara makan sahaja tetapi semua aspek kehidupan dalam menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia (hablum minannas).

Suri teladan Rasulullah SAW yang sering diabaikan


Dalam bulan Ramadhan yang mulia, umat Islam begitu bersemangat dan gigih menunaikan pelbagai sunnah yang terkait dengannya. Antaranya ialah amalan puasa Ramadhan, solat sunat Tarawih, amalan sunat tadarus al-Quran, kewajipan zakat harta dan zakat fitrah serta lain-lain ibadah lagi. Namun ramai yang terlupa dan terleka bahawa masih ada lagi amalan sunnah Rasulullah SAW yang wajib diamalkan sepanjang masa tetapi belum sempurna dilaksanakan. Antaranya adalah seperti berikut:


1. Mengatur Sistem Ekonomi

     Rasulullah SAW mengatur ekonomi negara dengan sistem ekonomi Islam yang berteraskan syariat Allah SWT. Hari ini sistem ekonomi di negeri-negeri kaum muslimin mengikuti sistem ekonomi kapitalis yang sekular serta berteraskan riba.

     Dosa riba lebih berat daripada berzina dengan ibu sendiri. Daripada Abdullah bin Masud RA daripada Nabi SAW bersabda, “Riba itu terdiri daripada 73 pintu. Pintu yang paling ringan seperti seorang laki-laki berzina dengan ibunya sendiri’. [HR. Ibnu Majah dan Al-Hakim]


2. Melaksanakan Sistem Pendidikan Islam

     Rasulullah SAW menetapkan supaya dasar dan polisi pendidikan Islam dilaksanakan dalam negara untuk melahirkan individu yang tahu dan faham Islam sebagai sistem kehidupan yang lengkap sempurna. Hari ini, umat Islam  dididik dengan sistem pendidikan sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan harian.


3. Mengatur Sistem Sosial (Pergaulan Dalam Masyarakat)

      Rasulullah SAW memisahkan pergaulan antara lelaki dan wanita kecuali apa yang diizinkan oleh syarak untuk mereka bergaul. Hari ini kebanyakan lelaki dan wanita bergaul dengan bebas tanpa batasan. Keadaan ini melahirkan pelbagai masalah sosial, termasuk perzinaan dan lahirnya anak luar nikah.

4. Melaksanakan Perundangan dan Mahkamah Islam


       Rasulullah SAW menerapkan undang-undang Islam dalam mengatur urusan negara dan umat. Mahkamah Islam sangat adil dalam menyelesaikan sesuatu pertelingkahan. Hari ini umat Islam dipaksakan ke atas mereka undang-undang buatan manusia yang menyalahi syariat Islam. Mahkamah Sivil lebih berkuasa daripada Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah tidak dapat melaksanakan syariat Islam secara betul dan lengkap kerana hukum-hukum Islam bukan merupakan sumber perundangan tertinggi negara. Hasilnya kezaliman berleluasa dan keadilan tidak dapat ditegakkan menurut syariat Allah.

5. Mengatur Urusan Umat dan Memerintah Negara (Siasah)
     
       Rasulullah SAW mendirikan Negara Islam yang bermula di Madinah dan mengatur urusan umat dalam semua aspek kehidupan dengan menerapkan syariat Islam. Sunnah yang besar ini telah diteruskan oleh para Khalifah secara silih berganti sehinggalah runtuhnya Negara Islam pada zaman Kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924 Masehi bersamaan 1342 Hijriah. Hari ini, negeri-negeri kaum muslimin tidak menerapkan syariat Islam, malah Daulah Islam yang pernah menguasai dua pertiga dunia ini kini dipecahkan menjadi lebih 50 negara-negara kecil dan tidak berada di bawah satu kepimpinan. Umat Islam ramai tetapi amat lemah, ibarat buih yang lemas dibawa arus Sekularisme.


6. Melaksanakan Polisi Luar Negara Islam

      Rasulullah SAW melaksanakan dakwah Islamiah oleh negara. Ajaran Islam disebar luas oleh negara melalui aktiviti dakwah dan jihad. Wilayah Negara Islam berkembang luas apabila sistem Islam diterapkan di wilayah baru dan sebarang penentangan terhadapnya akan dihilangkan melalui jihad. Hari ini, banyak negeri kaum muslimin hanya fokus kepada peningkatan ekonomi dan kepentingan negara sebagai tunggak dasar luar negara. Islam tidak diterapkan dalam negara dan tidak didakwahkan ke luar negara.

Khatimah


Ayat 21 daripada Surah Al-Ahzab ini menyebut bahawa orang yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan terbaik ialah orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah. Perintah Allah SWT agar kaum muslimin meniru sikap Rasulullah SAW dalam Perang Ahzab adalah dalam hal kesabaran, keteguhan hati, kesiagaan dan perjuangannya, serta tetap menanti jalan keluar daripada Allah SWT. Ini bermakna, fokus untuk meneladani Rasulullah SAW dalam seluruh aspek kehidupan adalah dengan thariqah atau manhaj (method) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan bukannya mengambil apa jua kaedah demi mencapai apa yang dikatakan sebagai maqasid syariah. Maka, adalah sangat penting bagi umat Islam untuk saling membantu dalam usaha  menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan untuk mengembalikan semula sistem kehidupan Islam secara kaffah (keseluruhan). Ini bermakna, umat Islam mesti memahami awlawiyat (keutamaan) dan tidak hanya sibuk dengan sunnah-sunnah lain seperti ibadah mahdhah yang lebih bersifat peribadi sehingga mengabaikan pula aspek hablum minannas ini yang  tidak kurang pentingnya dalam ajaran Islam.  Semoga seluruh umat muslim termasuk dalam golongan yang sentiasa untuk mengikut contoh teladan Rasulullah SAW secara keseluruhan.


Wallahu a’lam bisshawab.

Rujukan :
1. Terjemahan al-quran oleh Yayasan
2.  Penyelenggara Penterjemah/ Pentafsir al-quran Menteri Agama Indonesia. 
3. English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam.
4. ibnukatsironline.com

Post a Comment

0 Comments