Khadijah Binti Khuwailid R.A : Wanita Teragung dalam Lembaran Sejarah

Oleh: Pn Hidayah Muhammad (Ketua MHTM Cawangan Sandakan)

Muqaddimah

Rasulullah SAW bersabda, “Allah belum pernah menggantikan yang lebih baik darinya. Dirinya telah beriman kepadaku tatkala manusia mengingkariku, dia mempercayaiku ketika orang lain mendustakanku, dirinya telah mengorbankan seluruh hartanya manakala orang lain mencegahnya dariku dan dengannya Allah memberiku pada rezeki anak tatkala itu tidak diberikan kepada isteri-isteriku yang lainnya” [HR Ahmad].

Siapa lagi yang dimaksudkan dalam hadis di atas kalau bukan Ummul Mukminin Khadijah RA. Wanita yang pertama sekali beriman, wanita pertama yang mendapat jaminan syurga dan wanita yang mendapat salam daripada Allah SWT. Disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA beliau menceritakan,

“Pada suatu ketika Jibril mendatangi Nabi SAW sambil menyatakan kepada baginda, “Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah datang membawa sebuah bekas berisi kuah, makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikanlah kepadanya salam dari Tuhannya dan katakanlah kepadanya tentang sebuah rumah di syurga, terbuat daripada mutiara yang tiada suara ribut di dalamnya dan   tiada kepayahan”” [HR Bukhari].

Wanita Mulia dan Memuliakan Rasulullah

Khadijah RA juga merupakan seorang wanita cerdas, pemurah, terhormat dan yang sentiasa menjaga kesuciannya dan mendapat gelaran ath-Thahirah (wanita yang suci). Imam adz-Dzahabi berkata, “Seorang yang berfikiran matang dan terhormat, teguh dalam beragama, terjaga daripada sifat-sifat keji dan termasuk penghuni syurga. Nabi Muhammad SAW selalu memujinya dan mengutamakan dirinya daripada semua isteri-isterinya. Baginda sangat mengaguminya sehinggakan Aisyah RA menyatakan: “Aku tidak pernah merasa cemburu terhadap   maduku yang lain melebihi kecemburuanku kepada Khadijah RA, kerana Rasulullah SAW selalu menyebut-nyebutnya” (Siyar A’laam an-Nubala 2/110).

Beliau adalah keturunan dari kabilah Bani Asad dari suku Quraisy. Beliau lahir di Ummul Qura (Mekah al- Muqarramah), sekitar 15 tahun sebelum tahun gajah dan merupakan anak perempuan Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr. Ibunya pula Fatimah binti Zaidah bin Al-Aslam bin Rawahah bin Hajar bin Abd bin Ma’ish bin Amir bin Luai bin Ghalib bin Fihr.

Beliau pernah berkahwin sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW. Suami pertamanya adalah Abu Halah bin Zurarah At-Tamimi. Setelah Abu Halah meninggal, beliau berkahwin dengan salah seorang daripada pembesar Quraisy iaitu Atiq bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Namun pernikahan itu tidak berlangsung lama. Sehinggalah pada usia 40 tahun beliau berkahwin dengan Muhammad SAW.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua putera dan empat puteri. Ibnu Abbas RA        menyebutkan bahawa,“ Khadijah RA melahirkan keturunan bagi Rasulullah SAW yang terdiri daripada dua lelaki dan empat orang perempuan. Mereka ialah al-Qasim, Abdullah, Fathimah, Ummu Kaltsum, Ruqayyah dan  Zainab” (Dala’il Nubuwah, al-Baihaqi  jilid 2, hlm 70)

Sepanjang menjalani kehidupan    rumahtangga bersama Rasulullah SAW, Khadijah sentiasa berusaha untuk menyenangkan hati Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi setelah suaminya diangkat menjadi Rasul. Apalagi perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan Islam tidak pernah terlepas daripada ujian. Turunnya wahyu pertama di gua Hira diikuti dengan wahyu kedua (surah Muddatsir, ayat 1-2), maka bermulalah kisah perjuangan Rasulullah SAW dan orang yang sentiasa ada di samping Rasulullah SAW ialah    Khadijah RA. 

Ketika Khadijah RA mendengarkan bahawa kaum Quraisy akan menghalau Rasulullah dan akan memusuhi baginda, Khadijah RA sudah bersedia untuk bersama-sama menghadapi pahit getir yang akan dilalui bersama suami tercinta.      Begitu juga ketika terjadinya pemboikotan oleh kaum Quraisy terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib selama tiga tahun. Beliau juga merelakan anaknya Ruqayyah mengikuti suaminya Uthman bin Affan RA untuk hijrah ke Habsyah. Namun Khadijah tetap bersabar dan menyerahkan segalanya kepada    Allah SWT.

Khatimah

Itulah sekilas kisah daripada Ummul Mukminin Khadijah RA. Semoga wanita pada hari ini dapat menjadikan Khadijah RA sebagai suri teladan daripada semua aspek, bukan hanya sebagai seorang isteri yang sentiasa membantu suaminya, tetapi juga sebagai seorang wanita yang memiliki sifat-sifat terpuji sehingga mampu menjaga kemuliaannya walaupun hidup di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah.

Rujukan:

1. Mahmud Al-Mishri, 35 sirah sahabiyah jilid 1, hml28-30, Al-I’tishom, cetakan ke 8, 2012
2. Sirah Nabawiyah, ibnu Hisyam, jilid 1, hlm 155
3. http://kisah,muslim.com/3649-ke utaman-ibunda-khadijah-radyiyallahu-anha-bagian-1./html


Post a Comment

0 Comments